23 Julai 2010

SENI ANYAMAN : Pengenalan, Anyaman Mengkuang dan Pandan

PENGENALAN
Anyaman merupakan seni yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu. Menganyam bermaksud proses menjaringkan atau menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan tumbuh-tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, bilah, pandan, mengkuang dan beberapa bahan tumbuhan lain yang dikeringkan.

DEFINISI ANYAMAN
Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.
Sejarah dan Perkembangan

Anyaman merupakan seni tradisi yang tidak mempunyai pengaruh dari luar. Perkembangan Sejarah anyaman adalah sama dengan perkembangan seni tembikar. Jenis seni anyaman pada masa Neolitik kebanyakan adalah menghasilkan tali, rumah dan keperluan kehidupan. Bahan daripada akar dan rotan adalah bahan asas yang awal digunakan untuk menghasilkan anyaman. Menurut Siti Zainun dalam buku Reka bentuk kraftangan Melayu tradisi menyatakan pada zaman pemerintahan Long Yunus (1756-94) di negeri Kelantan, penggunaan anyaman digunakan oleh raja. Anyaman tersebut dipanggil ‘Tikar Raja’ yang diperbuat daripada pohon bemban.

Sehingga kini beberapa negeri masih terus aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Antaranya di daerah Rusila, Dungun, Kampung Ru Renggoh, Kampung Kijing, Cendering dan Kuala Ibai di negeri Terengganu. Negeri-negeri lain yang masih terdapat aktiviti anyaman ialah negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sarawak dan Sabah.

JENIS-JENIS ANYAMAN
1. Anyaman Mengkuang - Daun mengkuang -Tikar, tudung salji, bekas pakaian dan lain-lain
2. Anyaman pandan - Daun pandan duri -Tikar sembahyang, hiasan dinding,
3. Anyaman Buluh - Jenis-jenis buluh yang sesuai - Bakul, bekas pakaian, nyiru, beg dan lain-lain
4. Anyaman Rotan - Rotan yang telah diproses -Bakul, bekas pakaian, tempat buaian anak dan lain-lain
5. Anyaman Lidi - Lidi kelapa-Lekar, bekas buah, bekas telor.
6. Anyaman ribu-ribu-Paku pakis ribu-ribu.-Tempat tembakau, bekas sirih terbus, bakul, bekas seba guna dan lain-lain.



ANYAMAN MENGKUANG DAN PANDAN

Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan

Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan berwarna-warni.


Memproses Bahan 
Mengambil, membuang duri daun:
Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.

Mejangka, merendam ,menjemur daun:
Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.


Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.
  


Menganyam
Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji.
 
 Teknik mematikan anyman
 
 
CORAK ANYAMAN
Corak lebih menekankan kepada penggunaan susunan warna pada sesuatu anyaman biasa atau ghadas. Warna-warna penting dalam menentukan corak. Corak dijalin secara selang-seli hingga meninggalkan kesan geometri asli. Namanya akan berbeza jikan dianyam dalam bentuk, ukuran dan susunan yang berlainan. Terdapat 11 corak yang dianyam iaitu:
  


1. Corak Tapak Catur – seringkali dianyam dalam dua atau tiga warna. Hasil cantuman warna cerah dan gelap

2. Corak Mata Bilis – menggunakan warna teang dan gelap. Warna gelap dianyam satu mata sahaja dengan warna cerah. Kedua-dua warna ini timbul seakan-akan beras patah.

3. Corak Beras Patah – menyerupai corak mata bilis tetapi warna cerah dianyam tiga mata diselangi dengan satu mata gelap. Hasil cantuman ini member gambaran seakan-akan beras patah.

4. Corak Palembang – berasal dari Palembang. Petak empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi jalur-jalur dua warna iaitu merah dan putih.

5. Corak Bugis – berasal dari Bugis dan penggunaan dua warna yang berdekatan hijau dan putih. Petak-petaknya lebih kecil dari corak Muar serta dianyam dalam bentuk berdiri dan serong.

6. Corak Muar – berasal dari Muar dan bermotif empat segi. Anyaman dua warna merah dan biru serta dikelilingi dengan jalur-jalur putih, hijau dan kuning. Antara petak-petak digunakan adalah campuran merah dan biru.

7. Corak Selang-seli – penggunaan warna gelap dan cerah. Kedua-dua bahagian dianyam mata sama banyak dan selari.

8. Corak Berdiri – kurang mendapat sambutan dari pengusaha. Penggunaan dua warna tetapi untuk mendapatkan corak yang betul-betul lurus amat sukar.

9. Corak Serong – corak yang mudah. Bermacam kelarai boleh dianyam melalui contoh ini serta amat digemari oleh para penganyam.

10. Corak Ketapang Gilir Kacang – seakan-akan corak selang-seli dan susunan yang rapat. Dianyam dengan dua warna iaitu cerah dan gelap.

11. Corak Malaysia – corak selang-seli, dikelilingi dengan warna merah, putih, hijau dan biru  
 
Tokoh Anyaman Pandan dan Mengkuang

Puan Aminah binti Ali

Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Hingga kini beliau masih aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.

Lain-lain tokoh yang telah mencipta motif anyaman:

i. Cik Siah bt Jumaat berasal dari negeri Terengganu mencipta kelarai Sambas
ii Hajah Asiah bt. Salleh dari negeri Terengganu mencipta kelarai Tapak harimau
iii Hajah Semek dari negeri Terengganu mencipta kelarai Mak Mek
iv. Esah bt Said dari negeri Kelantan mencipta kerai Sisik Kelah.
v. Dayang Aisah bt. Awang Husin dari negeri Sabah mencipta kelarai bunga
GALERI ANYAMAN DIMENSI BARU


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hey!!!...kenapa x de tentang negeri-negeri terkenal dgn anyaman???...