27 Julai 2010

Karya Seni Setaraf Siswazah


SAMBIL memegang segelas minuman, seorang remaja perempuan leka memerhatikan sebuah lukisan bersaiz besar di hadapannya. Khusyuk dan penuh teliti.

Figura seorang lelaki tanpa baju tetapi hanya memakai seluar panjang berona coklat yang tidur dengan mengiringkan badan ke sebelah kiri begitu menarik perhatiannya.
Ditambah pula lakaran wajah yang penuh dengan emosi, kedutan pada seluarnya dan penghasilan bayang yang sesuai, karya itu dilihat hidup dan sempurna.

Selepas puas meneroka keindahan seni lukisan tersebut, dia pantas beralih pada beberapa lagi koleksi karya yang dihimpunkan dalam Dewan Pameran Garden International School (GIS) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu.

Ternyata semuanya nampak hebat dan mempunyai aura yang mampu menggamit seseorang untuk berhenti lama di tempat ia dipamerkan.

"Setiap tahun pameran kesenian yang dihasilkan pelajar GIS sangat membanggakan. Sebagai salah seorang pelajar di sekolah ini, saya kagum dengan karya-karya yang dihasilkan oleh mereka.

"Ia juga boleh dianggap satu platform terbaik untuk pelajar mempamerkan bakat dan kemampuan diri melalui penganjuran pameran sedemikian," kata Liesl Ho, 17, ketika ditemui Kosmo! sewaktu Pameran Seni GIS yang berlangsung baru-baru ini.

Tambah Liesl yang merupakan pelajar di GIS sejak 12 tahun lalu, komitmen dan kreativiti yang ditunjukkan para pelajar yang terlibat secara langsung dengan pameran itu sangat luar biasa.

"Mereka bersaing untuk menghasilkan karya terbaik dengan subjek pilihan masing-masing. Justeru, setiap karya mempunyai kelainan yang sukar diungkap dengan kata-kata," jelasnya sambil mengakui meminati bidang seni visual.

Memang sukar dinafikan apabila melihat himpunan karya hasil kerja tangan pelajar GIS yang berusia di antara 15 hingga 17 tahun itu, penulis seolah-olah menyaksikan satu pameran pelajar siswazah yang biasanya dilakukan oleh graduan seni universiti.

Aspek kehalusan dan ketelitian karya-karya yang dipamerkan begitu menyerlah. Daripada karya berkonsep lukisan, seni halus dan abstrak, rekaan fesyen mahu pun karya seni arca, semuanya mampu menarik perhatian mata yang memandang.

GIS merupakan salah sebuah institusi di bawah pentadbiran Kumpulan Pendidikan Taylor's (TEG) yang sudah mencapai usia empat dekad penubuhannya.

Kampus GIS Bukit Kiara mula beroperasi sejak Januari 1996 dan ia dilengkapi dengan kemudahan komprehensif dan selesa yang menyokong pendidikan berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa dan program ko-kurikulum yang luas.
 

Selain GIS, institusi lain di bawah TEG termasuklah Kolej Universiti Taylor's, Sri Gardens Kuala Lumpur, Nexus World-School Putrajaya dan Australian International School Malaysia.
Menurut Pengetua GIS, Simon Mann mereka mempunyai kakitangan jabatan yang kaya dengan bakat dan komited dalam memberi tunjuk ajar.
"Situasi ini menjadikan GIS antara pilihan terbaik untuk mempelajari subjek asas dan mengembangkan kebolehan dalam bidang seni menerusi program Centre for Contemporary Art (CCA).
"Kami berhasrat untuk menyediakan pelajar yang kreatif sejajar dengan perkembangan visual, pemikiran dan kesedaran komunikasi," katanya.

Malah, GIS percaya bahawa kanak-kanak perlu mempelajari bagaimana untuk melahirkan idea dan berpeluang untuk meneroka dunia kreativiti menggunakan pelbagai bahan dan proses.

Semua kemahiran tersebut boleh diperoleh sepanjang pendekatan kaedah pembelajaran khas dipanggil Projek Tematik yang menyeronokkan bermula dari tahun awal hingga ke peringkat A Level pada tahun ke-13 pembelajarannya.


Sementara itu, seorang pelajar dari Jepun, Kanon Tanaka turut berkongsi rasa gembira apabila berjaya menghasilkan karya seni yang diilhamkan sendiri untuk pameran itu.
Memilih pokok sebagai subjek utama dalam karyanya, Kanon mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk menyiapkan projek seninya itu.
"Saya memilih gaya abstrak kerana ia mempunyai pendekatan yang meluas. Seni abstrak juga boleh ditafsir mengikut pemikiran seseorang yang melihatnya. Jadi, terpulang kepada anda untuk menilainya," ungkap Kanon tersenyum sambil terus menunjukkan hasil kerja tangannya.
Walaupun nampak ringkas, tetapi gabungan kerusi yang dicantumkan dengan ranting-ranting dan dahan pokok yang dilukis di atas sekeping papan itu kelihatan timbul sekali gus membangkitkan nilai artistik yang hanya mampu difahami peminat berjiwa seni.
Seorang lagi pelajar yang mengunjungi pameran tersebut, Nick Bendor, 17, mengakui teruja dan berpuas hati dengan persembahan tahun ini.
"Setiap tahun, pasti ada kelainan dalam pameran seni yang diadakan. Kepelbagaian hasil karya membuatkan anda tidak jemu untuk menyaksikannya.
"Di samping itu, kombinasi karya seni dengan sesuatu subjek yang unik hasil cetusan idea setiap pelajar mencipta kelainan dalam pameran ini," ujar Nick yang berasal dari United Kingdom. - SUMBER DARI KOSMO.

Tiada ulasan: