SENI adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik. Demikian cetusan pendapat Sir Herbert Edward Read yang cukup dikenali sebagai seorang penyair anarkis bahasa Inggeris dan pengkritik sastera serta seni.
Justeru, dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti dan produktiviti seiring dengan kehendak industri masa kini, kefahaman itu turut memainkan peranan penting buat mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU).
Bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dengan keadaan sebenar, seperti slogan KLMU-Praktis Dunia Sebenar, penilaian hasil karya oleh majikan atau pelanggan, KLMU telah menganjurkan Pameran Seni: Exposure 2010 pada 29 Jun hingga 1 Julai lalu.
Bertempat di Suite Hall, Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pameran itu disertai lebih daripada 100 pelajar KLMU dengan bantuan kira-kira 20 pensyarah yang diketuai oleh Sharon Aziz dari fakulti tersebut.
Acara kemuncak untuk program selama tiga hari itu dirasmikan oleh Presiden KLMU, Datuk Idrus Mohd. Satha pada 29 Jun manakala Pameran Seni: Exposure 2010 pula dirasmikan oleh Timbalan Presiden (Operasi) KLMU, Syarifah Mastura Syed Mohamed.
Menurut Syarifah Mastura, pameran itu bertujuan untuk melengkapkan keperluan kerja untuk kursus Major Project oleh semua pelajar semester akhir di bawah Fakulti Seni Lukis & Seni Reka KLMU.
"Mereka yang terlibat merangkumi pelajar di bawah Jabatan Seni Reka Grafik, Aplikasi Multimedia, Seni Reka Produk dan Seni Reka Fesyen.
"Melalui penganjuran pameran ini, segala tugasan pelajar sama ada di peringkat Diploma mahupun Ijazah Sarjana Muda boleh dilihat oleh orang ramai sekali gus dapat menilai kemampuan mereka," katanya.
Untuk menghangatkan lagi suasana, program itu turut diserikan dengan persembahan mini peragaan fesyen hasil kerja tangan pelajar tahun pertama Jabatan Seni Reka Fesyen.
Selain itu, terdapat juga demonstrasi kesenian oleh pelajar dan pertandingan melukis yang terbuka kepada pelajar sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan