Songket pada pagi lebaran
KEGEMILANGAN pemakaian songket tidak lagi terhad untuk golongan bangsawan atau kerabat diraja seperti zaman dahulu.
Kini, penggunaan songket dilihat sudah semakin meluas malah, dengan corak kontemporari, songket mahu diangkat menjadi fabrik yang boleh digayakan untuk pelbagai acara.
Namun, ternyata songket tempatan tidak bertemu dengan jalan yang begitu mudah. Perlu bangkit daripada larut ditelan zaman kerana diasak dek fabrik-fabrik moden, kehadiran songket import baik dari Indonesia atau India hampir membunuh industri songket negara.
Mujur kesungguhan beberapa agensi seperti Karyaneka yang tidak lekang dengan pelbagai usaha menggerakkan kebangkitan tenunan songket tempatan memberi nafas baru untuk industri songket.
Yang pasti, seperti mana berjayanya batik menembusi pasaran dunia, songket juga mahu mengikut jejak langkah yang sama.
"Kini sudah tiba masanya untuk setiap orang memiliki koleksi tenunan songket. Lebih meriah sekiranya dapat memakai songket secara beramai-ramai terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri.
"Apatah lagi, hakikatnya songket tempatan lebih bermutu tinggi berbanding songket Indonesia atau India," ujar isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais semasa Majlis Peragaan Fesyen Koleksi Aidilfitri Karyaneka.
Nafas baru songket
Peragaan yang julung kali diadakan itu, berjaya memukau para tetamu yang hadir apabila fabrik turun temurun tersebut dizahirkan penuh mempesona dengan gaya moden.
Bersesuaian dengan keinginan golongan muda masa kini, majlis itu menampilkan lebih 40 pasang busana tekstil tradisional pelbagai rekaan menakjubkan.
Selain busana songket, turut disertakan dalam koleksi fesyen Aidilfitri sentuhan pereka terkenal, Datin Sharifah Kirana itu, ialah busana daripada fabrik batik.
Umumnya songket terbahagi kepada empat bahagian iaitu badan, kepala, kapit dan kaki kain. Pada setiap bahagian itu ia akan dihiasi dengan motif-motif tertentu.
Kepala kain biasanya dihiasi dengan motif pucuk rebung atau lawi ayam manakala badan kain dihiasi dengan motif bunga pecah lapan, tampuk manggis atau bunga kesemak yang diragam hias dengan teluk berantai.
Motif sulur bayung pula biasanya dikenakan untuk bahagian kapit dan kaki kain.
Terdapat lebih daripada 20 jenis bunga dan daun serta 10 jenis unggas yang menjadi sumber bagi menghias songket.
Kerana kekayaan fabrik tradisional negara itu, tidak hairanlah model-model tampil penuh bergaya di pentas peragaan.
Dimulakan dengan pertunjukan sepasang kebaya Nyonya yang diilham bersama kain pario batik, ia tampak elegan apatah lagi dilengkapkan dengan selendang senada warna.
Mempelbagaikan fabrik songket termasuk ke atas aksesori, ramai yang memuji apabila model tampil menjinjing tas tangan menggunakan fabrik itu.
Bagi yang ingin kelainan pada lebaran ini, ia pastinya persalinan ideal yang lari daripada stereotaip busana biasa Aidilfitri.
Yang pasti, fesyen baju kurung kain pesak dengan leher tulang belut yang menggunakan songket bunga tabur antara yang paling mendapat perhatian.
Busana eksklusif
Menurut Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd., Zuraidah Abdul Razak, koleksi hari raya yang dipamerkan cukup istimewa kepada peminat songket dan batik.
"Sebenarnya pasaran batik dan songket hari ini telah melalui fasa revolusi yang amat mendadak. Kita di Karyaneka berusaha untuk menonjolkan kepelbagaian batik dan songket agar boleh digunakan secara versatil dan kontemporari," terangnya.
Berbeza dengan rekaan busana lain, ujar Sharifah Kirana, koleksi Hari Raya Aidilfitri Butik Karyaneka boleh dianggap berstatus busana yang eksklusif.
"Hanya dihasilkan sepasang sahaja, anda tidak akan bertemu dengan orang lain yang mengenakan busana yang sama.
"Siapa cepat dia dapat, itulah yang menambahkan lagi nilai koleksi busana songket dan batik Karyaneka," ungkap ringkas Sharifah Kirana sambil sibuk melayan tetamu yang ingin membeli busana rekaannya.
Bermotifkan corak flora dan fauna, Sharifah Kirana menggunakan kombinasi fabrik seperti sutera sifon, sutera satin, organza dan renda menambahkan nuansa gaya pada rekaannya.-Dipetik dari Kosmo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan