13 Ogos 2010

KREATIVITI SENI: Biar sesuai cuaca dan majlis






KESEMPATAN bersiar-siar di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sekitar Masjid India, Kuala Lumpur pada minggu lalu begitu mengujakan. Di setiap penjuru jalan sesak dengan orang ramai yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelancong asing. 

Suasana riuh-rendah jelas kedengaran dengan lontaran suara para peniaga di kedai kain, butik pakaian dan tudung yang tidak jemu-jemu mempromosi produk mereka.

Namun gelagat pengunjung khususnya golongan wanita yang leka memilih dan membelek kain ela di beberapa buah gedung fabrik pantas menangkap pandangan mata. Bermacam-macam ragam dapat dilihat. Ada yang sibuk mengacukan kain di badan dan tidak kurang pula yang meminta staf kedai membuka gulungan kain yang disusun kemas di rak.

“Ketika membeli kain, golongan wanita dinasihatkan supaya tidak terlalu mementingkan warna, motif atau corak sehingga mutu dan kualiti fabrik diabaikan. Kebanyakan wanita masih kurang faham mengenai pemilihan fabrik yang ideal.

“Mereka lebih gemar membeli fabrik yang nampak mewah dan glamor. Ada juga yang sanggup berbelanja besar semata-mata untuk kain. 

“Bagi saya tiada gunanya melaram dengan kain mahal atau glamor jika fabrik berkenaan tidak sesuai dengan tema majlis atau cuaca di sini,” jelas pereka fesyen Hazree Wahid kepada Stailo.


VARIASI fabrik tempatan memberi peluang kepada individu bereksperimen dengan pelbagai busana.

Segelintir wanita sanggup menghabiskan wang untuk membeli kain renda Perancis atau sutera sifon Itali yang mahal, tetapi untuk kain pelapiknya, mereka membeli kain yang kurang berkualiti yang dijual pada harga di antara RM2 hingga RM5 semeter.

Pencetus rekaan
Kombinasi kain mahal dan murah menyebabkan busana seseorang kelihatan kurang menyerlah. Mengapa? “Kain murah sifatnya tebal dan kasar, jadi apabila dipadankan bersama fabrik mahal yang lembut dan cantik maka hasilnya mengecewakan,” ujar Hazree.

Sesetengah wanita kata Hazree, gemar bergaya dalam persalinan yang diperbuat daripada fabrik yang tidak sesuai dengan cuaca di Malaysia. Misalnya, menggabungkan kain renda Perancis bersama kain pelapik yang tebal dan tidak serap peluh.

“Dalam masa kurang dua jam mereka mula rasa panas dan tidak selesa. Terutamanya apabila menghadiri majlis keramaian di kawasan terbuka dan terdedah pada cahaya matahari.

“Tidak salah untuk bergaya dengan fabrik renda Perancis tetapi wanita perlu bijak memadankan dengan kain pelapik jenis sutera Itali. Kain sutera sifatnya lembut dan meresap peluh,” tutur Hazree bahawa kain kapas, jersi, sifon dan satin antara fabrik ideal untuk cuaca di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan dan Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar memberitahu, selain sutera, kain sifon dan kain kapas antara fabrik popular di kalangan wanita tempatan. 

Teksturnya yang lembut, meresap peluh dan tidak panas memudahkan pergerakan si pemakai yang perlu menjalani urusan di luar pejabat.

Menurut Azlan, mereka bukan sahaja menawarkan pilihan kain yang pelbagai malah sebagai konsultan dan pencetus rekaan bagi kain-kain yang bakal dijual di pasaran. “Hari ini golongan remaja mula meminati fabrik sifon, jadi kami di Jakel berusaha menghasilkan fabrik sifon yang sesuai untuk mereka.


STAF Jakel melayan pengunjung yang ingin membeli fabrik kapas jenis bintik polka.



“Begitu juga dengan fabrik kapas. Selain menampilkan kain kapas Inggeris yang popular dengan motif bunga-bunga kecil dan rona romantis, kami juga menawarkan beberapa pilihan kumpulan kain kapas yang menarik.

“Ia terdiri daripada kain kapas bintik polka, sulaman dan kain kapas campuran warna hitam dan putih. Inisiatif menghasilkan fabrik kapas memberi peluang kepada anak-anak muda bergaya dengan baju kurung atau blaus yang diperbuat daripada kain tersebut,” ujar Azlan

Kepada penggemar kain robia voile atau kasa robia, fabrik tersebut bukan sahaja sesuai dijadikan busana tradisional. Pada masa yang sama, kain kasa robia juga sesuai dijadikan pakaian moden seperti blaus, dres mini atau kemeja.

Menyorot trend permintaan fabrik kasa robia, Azlan menyatakan dua dekad lalu kain berkenaan amat laris di pasaran. “Orang ramai berebut-rebut membeli kain kasa robia untuk dibuat baju kurung ataupun kebaya Nyonya. Kini sambutan terhadap kain tersebut kembali khususnya di Jakel,” katanya.

Azlan menegaskan setiap individu bebas memilih fabrik mengikut cita rasa dan personaliti. Apa yang penting kain yang dibeli itu perlu sesuai dengan bentuk badan.


HAZREE WAHID menyarankan wanita bijak memilih fabrik mengikut majlis dan cuaca.



“Kepada mereka yang berbadan gempal sebaiknya pilih fabrik yang lembut dan beralun seperti sutera, sifon dan satin. Dari segi corak pula elak memilih motif besar dan melintang. Sebaik-baiknya motif kecil dan menegak. 

“Selain itu elakkan fabrik sutera Thai, shantung atau tafeta yang akan menampakkan susuk tubuh kelihatan lebih gempal kerana fabrik tersebut kain bersifat keras dan tebal,” ulas Azlan.

Kepada yang bertubuh langsing, fabrik yang dihiasi dengan motif bunga besar dan jalur melintang adalah pilihan yang sesuai. Kain sutera Thai, shantung, songket atau tafeta antara fabrik yang sesuai untuk mereka.- Dipetik dari Kosmo.

Tiada ulasan: