23 Ogos 2010

HIASAN DALAMAN : Kreativiti 'Wanita Biru'






RUANG yang terhad sering mengundang masalah kepada pemilik untuk menghias dan mencantikkan kediaman. Apatah lagi jika mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai. Kehadiran anak kecil pula menuntut setiap perhiasan rumah disimpan dengan teliti. Usaha pasangan Bahrain Md. Zain, 47, dan Rosmah Yusak, 44, mentransformasi rumah teres setingkat milik mereka boleh dipuji. Malah, kegilaan Rosmah terhadap warna biru, daripada sudut dinding hingga pelbagai peralatan dan perabot telah membuahkan hasil yang menarik. Menurut Rosmah, sejak kecil lagi dia menggemari warna biru.
“Saya suka memakai pakaian berwarna biru, beg biru, kasut dan jam tangan biru. “Bagi saya warna itu memberikan suasana yang menyenangkan.“Lagipun bilik tidur yang hiasannya banyak warna biru membuatkan saya lebih mudah terlelap setelah seharian penat bekerja,” katanya ketawa.


ROSMAH mengubahsuai bilik ini untuk dijadikan ruang makan.
RUANG hadapan yang agak ringkas tetapi selesa.



Tong sampah
 
Kunjungan Jurnal ke rumah Rosmah untuk melihat sejauh mana obsesnya beliau kepada warna biru memang mengejutkan.
Bayangkan, pakaian, tong sampah, bilik air dan mangkuk tandas semuanya berwarna biru. Namun, warna biru ternyata sesuai untuk dipadankan dengan warna lain.
    Di luar, rumah Rosmah dihiasi peralatan ringkas tetapi menarik. Sebagai contoh, beliau menggunakan pokok kaktus dan keladi untuk mendapatkan aura semula jadi. Kedua-dua tumbuhan itu sememangnya mudah dijaga.
       Corak jeriji besi tempawan disulam dengan lingkaran bunga keemasan menambah seri pada kediaman. Gabungan warna biru dan putih ditambah dengan hiasan lampu kecil membuatkan suasana malam lebih eksklusif dan mendamaikan.



BILIK tidur juga dihiasi dengan perhiasan berwarna biru.



Kayu jati 
Memasuki ruang tamu, hiasan dalamannya tampak berlainan. Pintu gerbang berliku menghubungkan bahagian dapur dan ruang menonton televisyen.Terdapat juga sepasang jahitan bunga matahari menghiasi dinding. Ia agak kontra tetapi menarik dipandang.
        Kebanyakan perabot di rumah ini berasaskan kayu jati.Ujar Rosmah, beliau memilih perabot jati kerana ia tahan lasak selain tidak memerlukan penjagaan yang rapi.“Walaupun kurang digilap, perabot-perabot jati itu tetap berkilat tanpa perlu dicuci selalu.“Ia juga menampakkan ciri tradisional berselang unsur moden. Kosnya pula tidaklah begitu mahal,” katanya.
       Di penjuru ruang tamu terdapat sebuah meja konsol yang mempamerkan pelbagai barangan kristal yang hampir semuanya berwarna biru. Selain itu, kotak menyimpan kunci juga dihiasi warna biru. Pinggan mangkuk, teko dan gelas turut membawa warna tema yang sama. Terbukti biru berupaya meredupkan pandangan mata.
Barangan kaca berbentuk teko ala Mesir dijadikan perhiasan hampir di setiap sudut. Ia kekal menjadi sebahagian koleksi kesayangan beliau.Biru juga melatari ruang dinding yang dibahagikan kepada dua iaitu dinding kosong dan dinding berhias kertas dinding.


Rosmah menggemari warna biru kerana berpendapat warna itu dapat membuatkan ruang yang kecil nampak lebih luas.



Pantulan imej
Beberapa bingkai berukiran ringkas yang mengetengahkan motif flora berwarna hijau menaikkan lagi aura dinding.Warna biru juga menambah seri kediaman dengan pantulan imej daripada bingkai cermin dan secara tidak langsung membuatkan ruang yang sempit kelihatan lebih luas walaupun perabot yang digunakan bersaiz besar.
      Bilik tidur Rosmah dan suami juga didominasi warna biru manakala katil kayu jati dititip dengan bunga-bunga ros plastik berwarna putih.Ruang dapurnya agak selesa berikutan sebuah bilik diubahsuai menjadi ruang makan sekali gus membuatkan kawasan itu menjadi lebih luas dan mampu memuatkan lebih ramai tetamu pada satu-satu masa.Kebanyakan perhiasan di dapur juga berwarna biru termasuk pinggan mangkuk dan corak-corak di sekelilingnya. - Dipetik dari Kosmo.

Tiada ulasan: