17 Ogos 2010

SENI TEKAT

PENGENALAN

Seni tekat dikenali juga dengan nama tekat bersuji atau sulaman timbul. Menekat merupakan kerja menyulam benang emas ke atas kain dasar (jenis baldu). Kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat.


SEJARAH DAN PERKEMBANGAN

Asal-usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka.

Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada.

FUNGSI TEKAT


tekat digunakan semasa upacara perkahwinan


Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah.

Penciptaannya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan.

PERANAN INSTITUSI DAN ISTANA

Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama pertumbuhan kraf seni tekat. Ramai pandai-pandai tukang tekat dijaga oleh pihak istana. Ini adalah kerana kelengkapan istana memerlukan tekat benang emas. Tekat benang emas menampakkan kemewahan dan keagungan. Ramai pandai tukang pada masa itu membuat tekat untuk kegunaan istana. Secara langsung istana telah menggalakkan kraf tangan seni tekat. Setelah wujudnya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, perusahaan menekat dimajukan lagi dengan program-program latihan, promosi, ciptaan yang baru, galakan pengeluaran dan menjual hasil ke luar negara. Tekat terus berkembang dengan hasil mutunya yang terjamin. Promosi yang dijalankan pada masa sekarang oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan industri pelancongan telah mendorong tukang sebu untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu dan berterusan. Secara langsung, kehalusan dan keunikan seni tekat dapat membantu memperkenalkan mutu seni tersebut kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar.

TOKOH TEKAT

1. Ahdijah bt. Hasim

Ahdijah b. Hasim adalah seorang tokoh kraftangan tekat yang telah dipilih oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Adiguru kerana kepakaran dalam bidang tekat. Beliau mula belajar menekat daripada Ibunya bernama Anatishaah bt. Bilai Din juga seorang tokoh tekat di Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga banyak menerima tempahan tekat antaranya ialah daripada Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Baju penabalan Yang Di Pertuan Agong.



2. Hajah Azizah bt. Mohd Yusof

Hajah Azizah berasal dari Kg. Panang Changkat, Bukit Candan, Kuala Kangsar Perak. Kemahiran menekat adalah di warisi dari ibu dan warisan keluarga sejak turun temurun. Sekarang beliau menumpukan sepenuh masa dalam perusahaan menekat. Sebelum ini beliau adalah seorang jurulatih di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perak. Beliau pernah mewakili negara ke Jepun, Arab saudi dan Brunei untuk membuat demontrasi menekat.

JENIS-JENIS TEKAT

1. Tekat Timbul Bunga Emas

Tekat ini menggunakan mempulur sebagai awan untuk membentuk corak motif. Mempulur ialah kertas keras yang dipotong dan ditebuk mengikut corak motif. Sulaman benang emas akan menutupi mempulur di atas kain baldu.

2. Tekat Gubah

Tekat gubah tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Pandai tukang hanya menyulam dan membentuk corak motif melalui benang merah yang dipanggil benang untina. Hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah adalah dari kain biasa. Kegunaan gubahan tekat ialah menghiasi tudung saji, tepak sirih, kasut pengantin, sejadah, penutup pahar, peralatan upacara perkahwinan, lemudi pintu, pakaian diraja dan sebagainya.

MOTIF SENI TEKAT
1.MOTIF FLORA - 
Motif flora sangat digemari di samping motif fauna dan geometri. Tumbuhan menjadi pilihan ialah tumbuhan menjalar, terutamanya bunga, daun, akar menjalar dan kudup bunga. 
Motif tumbuhan ini dimanipulasi dan diubahsuai menjadi variasi yang menarik. Contoh motif flora yang biasa digunakan ialah bunga cempaka, bunga asam batu, bunga bakung, bunga bercula kelopak pecah lapan, bunga kenanga, bunga pecah lima, bunga raya, bunga teratai, bungan atau buah delima, daun bunga jermin, daun keladi, daun peria, daun atau buah padi dan daun atau pucuk paku.

2. MOTIF FAUNA
Motif haiwan yang kerap digunakan ialah ayam, itik, serangga dan unggas. Motif ini selalunya diolah atau digabungkan dengan motif flora.

3. MOTIF GEOMETRI
Motif geometri digemari kerana lebih mudah dan ringkas. Antara motif geometri yang popular ialah segi tiga pucuk rebung, segi empat, garisan lurus, swastika, gandaan huruf 'S' dan sebagainya.


SUSUNAN MOTIF
Susunan motif terbahagi kepada tiga corak seni tekat, iaitu:
1. Susunan Satu atau Tunggal - hanya memerlukan satu sahaja corak untuk disulam. Corak tunggal yang digunakan ialah setangkai bunga lengkap dengan batang, daun, ranting dan kudup. Corak susunan satu biasanya dijadikan penghias alatan seperti tepak sirih, sarung bantal, dan kusyen.

2. Susunan Salur Bayung - menampilkan corak tumbuhan yang disusun secara menjalar dan berkait seperti keadaan semulajadi tumbuhan tersebut. Corak pada kain digubah memenuhi kain dasar.

3. Susunan Awan Larat - lebih kompleks dan rumit kerana corak tumbuhan atau haiwan disusun saling berkait dan rapat serta padat menghiasi permukaan kain. Corak-corak ini saling bercantum membentuk lingkaran awan larat. Susunan yang berlingkar dan berlengkuk ini  menampakkan sulamannya yang kreatif dan berkualiti.

PERALATAN TEKATAN 
1. Pemidang Kayu - digunakan untuk meregang kain dasar bagi memudahkan sulaman di samping mengelakkan kedutan atau lipatan. Ukuran pemidang bergantung pada lebar kain dasar atau jenis barang yang hendak dihasilkan.
2. Cuban[laola] - ialah jarum besar untuk melilit benang emas atau perak.
3. Benang - digunakan untuk menekat. Biasanya benang emas, benang perak, benang putih atau benag kapas dan benag pelbagai warna. Benang yang digunakan ini adalah sama dengan benaang untuk membuat songket. Benang emas dan perak digunakan sebagai benang hiasan manakala benang putih digunakan untuk mengetatkan kedudukan tekat emas pada mempulur. Benang petih tidak kelihatan pada permukaan kain.
4. Irasan atau Kain Dasar - Kain yang sesuai untuk membuat kain dasar ialah yang berwarna terang. Kain baldu berwarna merah dan biru paling banyak digunakan oleh para penekat di sampin warna merah tua, merah pulasan, biru tua, ungu, hijau dan hitam. Kain baldu ini dilapisi dengan sehelai kain kapas putih yang berfungsi untuk mengukuh dan mengemaskan sulaman benang.
5. Mempulur - digunakan sebagai bentuk atau struktur utama. Mempulur dibuat daripada rotan sega, kertas tebal dan gam.




PROSES MENEKAT


1. Penyediaan alat dan bahan menekat:
Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan bentuk sulaman timbul.


2. Penyediaan Mempulur :
Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 sentimeter dan 0.25 sentimeter. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.


3. Persiapan Pemidang:
Seterusnya, kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada reka bentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu, baldu akan menjadi tegang.


4. Menyulam :
Selepas itu, benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.


5. Kemasan :
Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci.



HASIL SENI TEKAT
Hasil seni tekat bersifat dua dimensi(2-D), tetapi produk akhirnya digunakan untuk hiasan barangan tiga dimensi (3-D). Antaranya ialah tepak sirih, tudung saji, pelamin, alas pahar, kasut bersulam , kotak tisu, kipas tangan, sarung bantal, sarung kusyen, kembal, hiasan pada sejadah, lemudi pintu, iasan dinding, bingkai cerman dll.






Tiada ulasan: